VADS Berhad (VADS), unit Teknologi Maklumat dan Komunikasi (ICT)/ Penyumberan Luar Proses Perniagaan (BPO) Telekom Malaysia Berhad (TM), hari ini telah menandatangani perjanjian kerjasama dengan AT&T* bagi membolehkan pelanggan-pelanggan VADS Managed TelePresence Services berkomunikasi dengan 80 buah negara seluruh dunia.
Telepresence merupakan teknologi persidangan video generasi baru yang membolehkan persidangan maya diadakan dengan menggunakan video and audio berdefinisi tinggi. Perjanjian tersebut ditandatangani dalam satu sesi Telepresence oleh Ahmad Azhar Yahya, Ketua Pegawai Eksekutif, VADS dan John Slamecka, Naib Presiden, Global Wholesale and Access Management, AT&T. Turut hadir untuk menyaksikan majlis menandatangani perjanjian tersebut ialah Dr Fadhlullah Suhaimi Abdul Malek, Pengarah, NKRA (RBI) & NKEA (CCI, Pertanian) dari Pemandu.
Dengan perjanjian ini, pelanggan VADS Managed TelePresence Services kini boleh berinteraksi dan berkolaborasi secara lebih baik dengan syarikat lain merentasi pelbagai lokasi di seluruh dunia, sekaligus mengurangkan kos perjalanan dan menjimatkan masa. Business Exchange AT&T menyokong secara terus telepresence di lebih 130 syarikat dan organisasi serta lebih daripada 50 pelanggan tambahan menerusi salinghubung dengan pembekal telepresence yang lain. Selain itu, terdapat juga beribu-ribu titik akhir (endpoint) telepresence terurus atau yang dimiliki oleh pelanggan di 80 buah negara seluruh dunia. AT&T mempunyai perancangan untuk menambah jumlah negara dan salinghubung yang lebih meluas di masa hadapan melalui kerjasama dengan pembekal perkhidmatan yang lain.
Tahun lepas, VADS telah bekerjasama dengan CISCO untuk membina Telepresence Exchange (VADS-TPX) pertama di Malaysia seiring dengan inisiatif Bidang Ekonomi Utama Negara (NKEA) iaitu Kandungan dan Infrastruktur Komunikasi (CCI); fasa awal yang memberi penekanan kepada peningkatan komunikasi melalui telepresence dan teleworking. Infrastuktur teras VADS-TPX berada di Pusat Data VADS dan ianya beroperasi melalui rangkaian yang selamat dan berdaya tahan.
“Pada asasnya, kami sedang mengubah cara masyarakat berkomunikasi. Pada masa ini, orang ramai sedang mengubah cara berkomunikasi daripada suara dan teks kepada komunikasi video. Terdapat pelbagai perkhidmatan komunikasi video di pasaran tetapi semua ini mungkin tidak memenuhi keperluan perniagaan yang lebih rumit termasuk kebolehpercayaan dan keselamatan. Dengan VADS-TPX, kami telah membolehkan pelanggan kami mengadakan mesyuarat perniagaan dengan rakan-rakan mereka di rantau ini tanpa perlu meninggalkan pejabat masing-masing,” kata Ahmad Azhar Yahya.
“Melalui usahasama ini, kami telah meluaskan jangkauan kami kepada 80 buah negara di seluruh dunia, sekaligus memastikan pelanggan kami turut mempunyai akses yang sama luas. Telepresence bukan sahaja meningkatkan produktiviti, malah ianya mempercepatkan proses membuat keputusan, mengurangkan kos dan masa perjalanan yang secara langsung mengurangkan kesan karbon kita,” tambah beliau.
“Kami gembira kerana dapat bekerjasama dengan VADS untuk membantu transformasi komunikasi perniagaan di Malaysia melalui Telepresence. Telepresence mengubah cara mesyuarat perniagaan dilaksanakan di seluruh dunia, mengurangkan kos dan meningkatkan produktiviti. Ia membolehkan mesyuarat dilakukan dengan lebih kerap pada bila-bila masa di mana-mana sahaja dengan rakan perniagaan anda,” kata John Slamecka, Naib Presiden Global Wholesale dan Access Management, AT&T.
VADS Managed TelePresence Service ditawarkan dalam tiga cara berbeza; Bilik Peribadi (Private Room Solution), Bilik Awam (Public Room Solution) dan Berdasarkan Acara (Event Based Solution). Perkhidmatan yang ditawarkan termasuklah perkhidmatan terurus (managed services) menyeluruh berkualiti tinggi dengan persediaan yang ringkas, penjadualan, khidmat bantuan 24/7, sokongan teknikal dan pelbagai jenis titik akhir, semuanya dalam satu pakej. Penawaran ini memberikan kemudahan dan ketenangan minda; kini mengadakan mesyuarat melalui TelePresence adalah semudah membuat panggilan telefon.
Keupayaan untuk menawarkan Telepresence sebagai satu perkhidmatan akan meningkatkan daya saing Malaysia sebagai pusat perniagaan dan hab serantau di samping menyediakan peluang bagi organisasi-organisasi untuk menggunapakai teknologi baru ke arah menjadi sebuah negara yang terhubung.