KUALA LUMPUR: VADS Bhd, anak syarikat Telekom Malaysia Bhd, memperuntukkan sejumlah besar dana untuk menyokong aspirasi ekonomi digital negara menyumbang 20 peratus kepada Keluaran Dalam Negara Kasar (KDNK) daripada 16.8 peratus pada masa ini. Tanpa menyatakan jumlahnya, Ketua Pegawai Eksekutifnya, Massimo Migliuolo, berkata syarikat mempunyai pusat data yang serba moden dan menyediakan penyelesaian ke arah transformasi landskap perniagaan kepada platform e-dagang. “Penyelesaian kami bukan saja bagi isu perniagaan awam tetapi untuk industri pendidikan, penjagaan kesihatan, kewangan, peruncitan serta minyak dan gas,” katanya. Beliau berkata, penyelesaian ini akan dapat menyediakan jaminan kualiti dan perkhidmatan kepada pelanggan. Migliuolo berkata di bawah perkhidmatan pelanggan syarikat, vConnect, VADS mempunyai lebih 80 pakej penyelesaian perniagaan yang dikategorikan mengikut industri dan jenis penyelesaian. vConnect bertujuan memperkasakan penyelesaian inovatif asas nilai dan perkhidmatan yang membolehkan syarikat menumpukan kepada perniagaan teras mereka, sejajar dengan falsafah TM, ‘Perniagaan Lebih Mudah’. Sementara itu, VADS bekerjasama dengan pusat pakar keselamatan digital negara, CyberSecurity Malaysia, untuk memacu landskap keselamatan siber negara dengan meningkat dan mewujudkan pelbagai kesedaran mengenai pembinaan keupayaan keselamatan siber di semua segmen pasaran. Susulan pemeteraian perjanjian selama lima tahun itu, CyberSecurity, agensi di bawah Kementerian Sains, Teknologi dan Inovasi, mewujudkan Pasaran Keselamatan Siber di Pasaran VADS. Pasaran terdiri daripada program pembinaan kapasiti yang akan memberi manfaat kepada semua segmen pasaran. Pengerusi CyberSecurity, Tan Sri Mohd Azumi Mohamed berkata, jenayah siber adalah ancaman sebenar kepada gaya hidup digital. “Dengan pelaksanaan ekonomi digital, kami menyedari kepentingan mempunyai rakan strategik untuk menangani pelbagai ancaman siber dengan berkesan,” katanya. Azumi berkata di Malaysia, ada lebih 8,300 insiden keselamatan siber dilaporkan kepada CyberSecurity Malaysia pada 2016. Sehingga Mac 2017, ada kira-kira 1,850 insiden keselamatan siber dicatatkan, katanya. – BERNAMA
Penyelesaian perniagaan VADS sokong ekonomi digital negara
www.bharian.com.my • 14th April, 2017