VADS Bhd (VADS), anak syarikat milik penuh Telekom Malaysia Bhd (TM) memeterai perjanjian kerjasama dengan pembekal perkhidmatan telekomunikasi global, AT&T bagi menyediakan platform Telepresence kepada pelanggan.
Ketua Pegawai Eksekutifnya, Ahmad Azhar Yahya berkata, kolaborasi itu bakal menghubungkan pelanggan dengan perkhidmatan sidang video generasi baru dan audio definisi tinggi ke 3,000 lokasi perkhidmatan akhir yang dimiliki AT&T di 80 negara.
“Kini, pelanggan kami boleh berinteraksi secara lebih baik dengan rakan niaga mereka merentasi pelbagai lokasi di seluruh dunia, sekali gus dapat meningkatkan produktiviti, mengurangkan kos perjalanan dan menjimatkan masa.”
“Dari segi akses, Vads sudah mempunyai kemudahan infrastruktur bernilai RM8 juta yang dibangunkan tahun lalu melalui kerjasama dengan syarikat teknologi Cisco,” katanya ketika menandatangani perjanjian Penyelesaian Telepresence Global perniagaan ke perniagaan (B2B) yang dijalankan secara sidang video, di Kuala Lumpur, semalam.
AT&T diwakili oleh Naib Presiden Perniagaan Global dan Penyelesaian Aksesnya, John Slamecka yang berada di London.
Ahmad Azhar berkata, ketika ini, kebanyakan pelanggan Vads terdiri daripada syarikat perusahaan swasta dan juga pihak kerajaan.
Menurutnya, pada masa depan, Vads merancang menjalin kerjasama dengan penyedia perkhidmatan telekomunikasi lain pula bagi memperluas liputan Telepresence ke lebih banyak lokasi akhir.