KUALA TERENGGANU – Talian aduan Syarikat Air Terengganu Sdn Bhd (SATU) iaitu 1-300-88-2111 yang dilancarkan hari ini dapat memberi perkhidmatan yang lebih cekap dan berkesan kepada pelanggan, kata Menteri Besar, Datuk Seri Ahmad Said.
Beliau berkata, selain meningkatkan perkhidmatan SATU kepada pelanggan, talian aduan tersebut merupakan antara jalan penyelesaian terhadap masalah yang dihadapi oleh SATU iaitu kadar kehilangan air tanpa hasil (NRW).
“Selain daripada membuat aduan berkaitan dengan masalah bekalan air, bil air, kerosakan meter air dan sebagainya, orang ramai diminta memberi kerjasama kepada SATU untuk melaporkan sebarang kejadian paip bocor dan pecah.
“Pada tahun lepas, SATU mencatatkan NRW sebanyak 39.39 peratus, pada tahun ini kerajaan negeri telah mengarahkan SATU menyelesaikan masalah NRW bagi mengurangkan kos ditanggung kerajaan negeri akibat NRW,” katanya.
Beliau berkata demikian pada sidang media selepas melancarkan Talian Aduan SATU dan menyaksikan majlis menandatangani perjanjian antara SATU dan VADS Berhad di Pulau Duyong di sini hari ini. – Bernama