KUALA LUMPUR 22 Sept. – Telekom Malaysia Bhd. (TM) mengemukakan cadangan untuk menjadikan persendirian unitnya, VADS Bhd. TM menguasai kira-kira 63.3 peratus kepentingan dalam VADS.Proses berkenaan dijangka selesai pada separuh pertama 2009.
TM dalam kenyataannya kepada Bursa Malaysia di sini berkata, bagi melaksanakan cadangan berkenaan, TM antara lain, akan mencadangkan dan memperoleh anak syarikat milik penuh untuk menyediakan pendahuluan tanpa faedah sehingga RM417.3 juta kepada VADS bagi membiayai cadangan itu sepenuhnya atau sebahagian.
“Sebagai sebahagian daripada strategi pertumbuhan TM dan peningkatan pendapatan, cadangan menjadikan persendirian itu VADS akan memberikan lebih kelonggaran kepada kumpulan TM untuk memperkemaskan perniagaannya bagi memaksimumkan sinergi dan faedah penjimatan kos,” kata TM.
Ia juga dijangka membolehkan kumpulan TM menawarkan perkhidmatan kepada pelbagai pelanggannya dengan lebih baik terutamanya dalam segmen perusahaan.
Aktiviti utama kumpulan VADS adalah menawarkan perkhidmatan rangkaian terurus, sistem perkhidmatan bersepadu dan pusat hubungan serta perkhidmatan berkaitan.