KUALA LUMPUR: VADS Bhd menjalin kerjasama dengan VMware untuk menyediakan pengurusan Desktop-as-a-Service (DaaS) dan rangkaian perusahaan sosial untuk tenaga kerja Malaysia yang sentiasa berhubung dan bergerak.
Kerjasama itu memanfaat penyelesaian komputer maya VMware dan awan seperti Horizon DaaS dan Socialcast yang dihoskan dalam sistem Virtual Private Cloud (VPC) milik VADS bagi memberikan sektor perniagaan kecekapan untuk menyampaikan perkhidmatan perkomputeran kepada pengguna dengan pantas dan mudah tanpa sebarang masalah menyedia dan menguruskan infrastruktur.
VADS dalam satu kenyataan hari ini berkata dengan perniagaan yang ditawarkan VPC miliknya, syarikat akan disediakan dengan perkhidmatan Teknologi Maklumat (IT) dalam bentuk prabayar, mengubah perbelanjaan daripada perbelanjaan modal kepada perbelanjaan operasi dan mengurangkan kerumitan dalam pengurusan IT.
Platform ini menyediakan pekerja, ruang kerja maya yang selamat, yang mana selepas mereka daftar masuk boleh mengakses semua aplikasi, fail, peralatan sosial dan perkhidmatan atas talian yang mereka perlukan di mana-mana peranti.
Ketua Pegawai Eksekutif VADS, Ahmad Azhar Yahya, berkata penyelesaian VADS-VMware tertumpu kepada merapatkan jurang antara jangkaan perniagaan terhadap ketersediaan dan akses yang sentiasa berubah, dengan mementingkan pencapaian perniagaan, kecekapan dan keselamatan.
“Sektor perniagaan akan dapat memberi lebih tumpuan terhadap penyampaian nilai, persekitaran dan sumber terbaik kepada tenaga kerja mudah alih mereka tanpa perlu bimbang mengenai infrastruktur atau kepakaran yang diperlukan,” katanya.